Saturday, June 16, 2018

Umat Muhammad S.A.W., ghaib di Nur Arasy...


PERBEZAAN MANUSIA DENGAN MAKHLUK LAIN 
Firman Allah Ta’ala Surah Al-Tin ayat 4-6…….
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (Neraka), kecuali orang-orang yang berIman dan mengerjakan amal soleh; maka mereka pahala tidak putus-putus.”
DEMIKIAN firman Allah Ta’ala dalam surah Al-Tin ayat 4-6. Dengan terang Allah Ta’ala menegaskan bahawa manusia adalah makhlukNya yang paling baik (mulia). Makhluk paling agung. Tidak ada makhluk lain yang setanding dengan manusia. Namun begitu kebaikan dan kemuliaan itu ada syarat-syaratnya. Ia tidak diperolehi secara automatik oleh manusia.
Sekiranya manusia memenuhi syarat-syarat itu baru ia dikatakan baik.

Syaratnya ialah sekiranya manusia itu berIman dan beramal soleh. Yang kenal diri dan juga Tuhannya. Sebaliknya jika mereka tidak berIman dan berpegang dengan kepada apa yang Allah perintahkan, maka ia akan diletak di tempat serendah-rendahnya iaitu ke dalam Neraka. Mereka tidak berhak untuk menerima “gelaran” kemuliaan itu. Malahan hidup mereka sama sahaja dengan haiwan dan makhluk-makhluk lain.

Apapun dalam firman Allah tadi membuktikan kepada kita bahawa manusia itu sebaik-baik kejadian dan telah dijanjikan akan menduduki martabat kemuliaan jika ia berIman kepada Allah. Adapun keadaan dan deklarasi seumpama ini Allah tidak berikan kepada kejadian-kejadianNya (makhluk) yang lain.

Menyebut kejadian terbaik dan mengakui kejadian terbaik, siapa pun mahu.
Kerana itu adalah satu keistimewaan yang Allah berikan kepada manusia. Tidak ada manusia yang mahu digolongkan dalam golongan hina dina. Tetapi untuk mencari hujah dan bukti-bukti kenapa manusia itu menjadi makhluk terbaik adalah sesuatu yang payah.

Jawaban dan cara untuk mewujudkan manusia menjadi baik telah kita ketahui iaitu dengan berIman dan beramal soleh. Mana-mana manusia yang berIman dan beramal soleh dengan kebenaran, ikhlas dan kena caranya maka tidak ragu lagi dia manjadi makhluk yang baik.

Firman Allah Ta’ala Surah Al-Baqarah ayat 277…….
“Sesungguhnya orang-orang yang mengerjakan amal soleh, mendirikan solat dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di didi Tuhan, tidak ada kekhuatiran terhadap mereka, dan mereka tidak (pula) bersedih hati.”
Tetapi persoalan kita kini untuk mengetahui kenapakah Allah telah mengakui bahawa manusia itu adalah makhlukNya yang paling baik.
Apakah asas-asas sehinggakan Allah berkata demikian? Atau dalam bahasa paling mudah di manakah terletaknya kebaikan manusia itu?

Iya, kenapakah manusia dikatakan makhluk terbaik? Apakah perbezaannya? Apakah yang menyebabkan Allah hanya menyebut (an-nas) manusia sebagai kejadian yang terbaik? Kenapa tidak ada makhluk lain lagi selepas itu? Kenapa tidak Malaikat ataupun iblis? Atau ke atas semua makhluk di dunia ini. Bukankah semua kejadian di atas muka bumi ini dijadikan olehNya? Apakah Allah mempunyai motif tertentu mengangkat manusia ke taraf sebaik itu?

Kalau mengikut logik sepatutnya semua makhluk itu mulia dan semuanya harus dipandang sama. Semua makhluk hendaklah diberi hak yang sama rata.
Tidak dikelasifikasikan ada yang duduk nombor satu, ada duduk nombor dua dan ada yang duduk nombor tiga. Sebab semuanya dijadikan oleh Allah? Jadi kenapa manusia sahaja yang dikatakan sebaik-baik kejadian?

Apakah kebaikan itu disebabkan fizikal manusia itu begitu, punya kepala di atas dan kaki di bawah. Punya dua mata di muka, satu hidung dan satu mulut. Rasanya kalau setakat perbezaan itu ternyata manusia tidak mempunyai apa-apa kelebihan. Manusia sama sahaja dengan makhluk lain seperti lembu, kerbau, ayam, itik, kera dan monyet.

Manusia tidak boleh pandai-pandai hendak mengakui dirinya mulia dan terbaik kalau setakat bergantung kepada kedudukan jasad sahaja.
Kerana makhluk lain juga mengakui yang kewujudan dan kejadian (rupa bentuk) mereka juga menarik. Malahan sesetengah daripada makhluk lain seperti haiwan mempunyai sisik bersinar, berkilau, mempunyai sayap dan kepak yang boleh terbang bebas di atas angin seperti burung. Ada pula yang mempunyai insang yang boleh bernafas dalam air seperti ikan. Tetapi keistimewaan itu tidak ada kepada manusia.

Kalau hendak dikira apa yang ada kepada burung dan ikan itu cukup istimewa berbanding dengan manusia. Burung boleh terbang bebas di angkasa raya dengan menggunakan sayapnya. Ke mana meraka hendak pergi, kibas sahaja kepak, mereka akan melayang. Pun begitu juga dengan ikan, mereka boleh duduk dalam air selama-lamanya.

Tetapi tidak dengan manusia. Manusia kalau hendak melayang terpaksa menggunakan kenderaan khas, kapal terbang misalnya. Itupun bagi orang yang kaya, yang tidak kaya hanya melopong dibawah sahaja. Begitu juga kalau hendak duduk dalam air sampai lima hingga sepuluh minit sudah kena pakai oksigen. Kalau tak pakai oksigen ibarat kata yang timbul nanti ialah perut buncit yakni mati lemas.

Maka ternyata perbezaan saiz dan segala macam keistimewaan lahiran (rupa bentuk) itu bukan menjadi ukuran mutlak untuk kita melihat apakah perbezaan tadi sehinggakan Tuhan memperakui manusia itu sebagai KhaliqNya yang terbaik. Keistimewaan tubuh badan atau jasad bukan menjadi ukuran untuk menilai perbezaan untuk meletakkan manusia sebagai makhluk yang paling mulia.

Sabda Rasulullah S.A.W……..
“Sesungguhnya Allah tidak memandang jasad/rupa tetapi Dia memandang hati kamu.”
– Termizi & Muslim –

No comments:

Post a Comment

Antara Bilik-Bilik di Arasy Allah S.W.T.

Bilik-bilik di Syurga Rasulullah s.a.w. pernah bersabda bahawa di dalam syurga itu terbahagi dalam kamar-kamar. Dindingnya tembus...